Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG)

Diffuse Intrinsic Pontine Glioma adalah ketumbuhan otak yang sangat jarang dijumpai dan ekslusif hanya dalam kategori umur kanak-kanak.

Apakah DIPG?

DIPG adalah sejenis ketumbuhan otak glioma yang bermaksud ketumbuhan yang berasal dari sel otak sendiri. Glioma di pangkal otak jarang dijumpai di kalangan dewasa, tetapi ia adalah antara sebab kematian utama di dalam umur kanak-kanak yang menghidapi ketumbuhan otak.

Apakah fungsi pangkal otak?

Fungsi utama pangkal otak adalah mengawal fungi automatik badan seperti pernafasan dan kawalan tekanan darah. Terdapat beberapa saraf kepala utama yang berasal daripada pangkal otak yang berfungsi mengawal pergerakan mata, anak tekak dan fungsi menelan.

Apakah gejala DIPG?

Gejala DIPG kebiasaannya ditunjukkan oleh kegagalan fungsi saraf otak utama yang berasal dari pangkal otak. Gejala ini kebiasaannya berlaku secara dramatik dan keadaan kanak-kanak menjadi teruk dalam tempoh yang singkat. Antaranya:

  • Juling mata atau tidak boleh membuka sebelah kelopak mata
  • Gangguan penglihatan seperti nampak 2 bayang, (double vision)
  • Lumpuh sebelah muka menyebabkan sebelah muka menjadi senget.
  • Pekak secara tiba-tiba atau kurang tahap pendengaran
  • Selalu tersedak semasa menyusu atau makan, atau tidak boleh menelan langsung
  • Pergerakan yang tidak stabil semasa berjalan dan selalu jatuh
  • Sakit kepala atau pening
  • Loya atau muntah yang berterusan

Apakah penyiasatan yang sesuai untuk anak saya?

Imbasan otak diperlukan untuk mendiagnosa DIPG. Rujuk penyiasatan ketumbuhan otak .

Dr Nor Faizal mencadangkan kepada keluarga untuk berbincang dengan pakar bedah otak kanak-kanak di klinik supaya mendapat pemahaman lebih jelas.

Apakan perawatan yang sesuai untuk anak saya?

Pembedahan otak tidak sesuai untuk dijalankan keatas kanak-kanak yang menghidapi DIPG kerana ketumbuhan ini melekat dengan erat diantara tisu otak yang normal. Tiada sempadan yang memisahkan tisu normal dan tisu ketumbuhan yang boleh dipisahkan semasa pembedahan.

Kemoterapi tidak mempunyai kesan yang efektif untuk DIPG. Kaedah radioterapi adalah perawatan yang boleh diberi kepada pesakit. Fokus sinar radiasi akan ditetapkan ke punca ketumbuhan dengan harapan glioma akan mengecil dan mengurangkan gejala tekanan ke pangkal otak. Rawatan ini mungkin akan memberi masa untuk bertahan sehingga beberapa bulan sebelum ketumbuhan membesar semula. Perawatan radioterapi mempunyai had keselamatan dan perawatan berulang mungkin tidak selamat.

Sekiranya anda mengesyaki anak anda mengalami DIPG atau gejala tekanan otak yang meningkat, sila rujuk kepada doktor anda secepat mungkin. Doktor boleh mengambil sejarah dan memeriksa fungsi saraf anak anda.

Previous Post Next Post